Excerpt from this book, "Siapakah Ahli Sunnah yang sebenar" by Dr Azwira Abdul Aziz link here --> Click!
Dalam sebuah athar sahih [athar-Riwayat berkenaan amalan para Sahabat radhiallahu ‘anhum] riwayat Ad-Darimi, Abu Musa Al-Asy’ari radhiallahu ‘anh memberitahu Ibn Mas’ud radhiallahu ‘anh bahawa beliau melihat di masjid sekumpulan lelaki sedang duduk dalam halaqah (bulatan) zikir untuk bertakbir, bertahlil dan bertasbih dengan menggunakan biji-biji batu mengikut cara yang tidak pernah dilakukan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan juga para Sahabat radhiallahu ‘anhum. Mendengar yang demikian, Ibn Mas’ud menuju ke tempat halaqah zikir itu lantas menegur mereka dengan katanya:
عَدُّوا سيِّئاتِكم فأنا ضامن أن لا يضيعَ من حسناتِكم شيء، ويْحَكم يا أمّة محمد! ما أسرع هلكتَكم، هؤلاء صحابة نبيكم صلى الله عليه وسلم متوافرون، وهذه ثيابه لم تبْلُ وآنيته لم تُكْسر، والذي نفسي بيده إنكم لعلى ملةٍ أهدى من ملة محمد أو مفتّحو باب ضلالة؟
Maksudnya: “Hitunglah amalan buruk kamu itu kerana aku jamin bahawa amalan baik kamu tidak akan hilang sedikitpun. Celakalah kamu wahai umat (Nabi) Muhammad! Alangkah cepatnya kebinasaan kamu, para Sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam masih ramai, baju Baginda inipun masih belum hancur dan bekas makanannya pun belum pecah. Demi yang nyawaku di Tangan-Nya! Adakah sesungguhnya kamu berada di atas agama yang lebih baik dari agama Muhammad atau kamu sebenarnya pembuka pintu kesesatan?”
Mendengar kata-kata Ibn Mas’ud ini, mereka menjawab:
والله يا أبا عبد الرحمن! ما أردْنا إلا الخير.
Maksudnya: “Demi Allah wahai Abu ‘Abd Ar-Rahman! [Abu ‘Abd Ar-Rahman ialah kuniyah bagi Ibn Mas’ud radhiallahu ‘anh] Tujuan kami hanya untuk kebaikan”.
Mendengar jawapan mereka itu, Ibn Mas’ud ‘berkata:
وكم من مريدٍ للخير لن يصيبه إن رسول الله صلى الله عليه وسلم حدثنا ((أن قوما يقرأون القرآن لا يجاوز تراقيهم)) وأَيْم الله ما أدري لعل أكثرهم منكم.
Maksudnya: “Berapa ramai orang yang bertujuan baik tetapi tidak betul (caranya). Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memberitahu kami: “Bahawa ada satu kaum yang membaca al-Quran tidak melebihi kerongkong mereka” [Al-Bukhari, Muhammad Ibn Ismail, Sahih Al-Bukhari, Dar Ibn Kathir, Al-Yamamah, Beirut, 1987, No: 3166, 3415, 4094, 4770, 4771, 6531, 6532, 6995 dan 7123. Muslim Ibn Al-Hajjaj, Sahih Muslim, Dar Ihya’ At-Turath Al-’Arabiyy, Beirut, 1991, No: 1063, 1064 dan 1066]. Demi Allah! Aku tak tahu boleh jadi kebanyakan mereka itu adalah dari kalangan kamu”.
Kemudian ‘Amr Ibn Salamah [Seorang tabi’en thiqah dan juga murid kepada Ibn Mas’ud yang meriwayatkan athar tersebut] berkata (maksudnya): “Kami melihat semua lelaki yang berada dalam halaqah itu menyertai puak Khawarij lalu menyerang kami pada hari peperangan An-Nahrawan” [Ad-Darimi, ‘Abd Allah Ibn ‘Abd Ar-Rahman, Sunan Ad-Darimi, Dar Al-Kitab Al-’Arabi, Beirut, Lubnan, 1407, 1: 79, No: 204. Sanad hadith ini telah dinilai sahih oleh Al-Albani dalam kitabnya Islah As-Sajid (Hal: 11). Lihat: Ad-Durar As-Saniyyah, atas talian: http://www.dorar.net./mhadith.asp].
Peristiwa yang berlaku pada zaman Sahabat radhiallahu ‘anhum ini mengandungi banyak pengajaran yang harus dihayati oleh umat Islam. Antara pengajaran itu ialah:
Pertama: Bahawa amalan berzikir dalam halaqah beramai-ramai dengan menggunakan biji-biji batu adalah suatu bid’ah yang menyalahi Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan para Sahabat radhiallahu ‘anhum.
Kedua: Kata-kata Ibn Mas’ud radhiallahu ‘anh: “Berapa ramai orang yang bertujuan baik tetapi tidak betul (caranya)”, sebagai jawapan terhadap alasan yang mereka berikan, mengukuhkan lagi dasar penolakan Islam terhadap falsafah ‘tujuan menghalalkan cara’.
Ketiga: Kata-kata ‘Amr Ibn Salamah bahawa beliau melihat semua lelaki yang mengadakan halaqah zikir itu menyertai puak Khawarij untuk memerangi para Sahabat radhiallahu ‘anhum, menunjukkan bahawa sikap mengambil mudah terhadap perkara bid’ah akhirnya mengheret pengamalnya ke arah bid’ah yang lebih bahaya dan lebih besar.
Keempat: Orang yang menegur dan menjelaskan perkara bid’ah tidak sekali-kali akan terpengaruh dengan pemikiran puak Khawarij, sebaliknya orang yang mengamalkan bid’ah itulah sebenarnya yang akan terheret ke dalam pemikiran puak berkenaan.
Kelima: Kepentingan menjaga perpaduan dan keharmonian masyarakat tidak harus dijadikan alasan untuk menangguhkan penjelasan terhadap sesuatu amalan bid’ah, asalkan penjelasan itu disampaikan melalui cara dan saluran yang betul.
Keenam: Kekerdilan sesuatu perkara agama pada pandangan sesetengah pihak tidak harus dijadikan alasan untuk memandang remeh perkara tersebut.
No comments:
Post a Comment