Excerpt from this book, "Siapakah Ahli Sunnah yang sebenar" by Dr Azwira Abdul Aziz link here --> Click!
Memerangi Bid’ah Adalah Salah Satu Daripada Isu Pokok Agama Islam
Amalan bid’ah ialah amalan rekaan dalam urusan agama yang bercanggah dengan jalan pemikiran, pendekatan, perbuatan, perkataan, pembawaan dan pegangan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Dengan perkataan lain, ia bermaksud amalan dan pegangan yang bercanggah dengan Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam beribadat dan beragama. Suruhan supaya menjauhi perkara bid’ah terkandung dalam banyak nas syara’, antaranya sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
فإنه من يعش منكم بعدي فسيرى اختلافا كثيرا فعليكم بسنتي وسنة الخلفاء الراشدين تمسكوا بها وعضوا عليها بالنواجذ وإياكم ومحدثات الأمور فإن كل محدثة بدعة وكل بدعة ضلالة
Maksudnya: “Maka, sesungguhnya sesiapa di antara kamu yang hidup selepasku dia akan melihat banyak perselisihan, maka hendaklah kamu berpegang dengan Sunnahku dan Sunnah Khulafa’ Rashidin Mahdiyyin, gigitlah ia (sekuat hati) dengan gigi geraham, dan hendaklah kamu jauhi perkara yang diada-adakan (dalam urusan agama) kerana ia adalah bid’ah sedangkan setiap bid’ah itu adalah sesat” [Abu Daud, Sulaiman Ibn Al-Asy-‘Ath, Sunan Abi Daud, Dar Al-Hadith, Beirut, 1974, No:4607 At-Tirmizi, Muhammad Ibn Isa, Sunan At-Tarmizi, Dar Al-Kutub Al-Ilmiyyah, Beirut, 1987, No: 2510 dan Ibn Majah, Muhammad Ibn Yazid Al-Qazwini, Sunan Ibn Majah, Dar Ihya’ Al-Kutub Al-‘Arabiyyah, Kaherah, t.th, No: 4036. Hadith ini telah dinilai sahih oleh Al-Albani, Muhammad Nasir Ad-Din, Silsilah As-Sahihah, Maktabah Al-Ma’arif, Riyadh, 1996, 6: 526, No: 2735].
Dari sudut bahasa, ungkapan فعليكم yang bermaksud “hendaklah kamu berpegang” diistilahkan sebagai ism fi’l amar (katanama suruhan) yang membawa konsekuensi hukum wajib. Kedudukan maksud suruhan yang terkandung dalam hadith ini sama seperti kedudukan maksud suruhan yang terkandung dalam firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: كتب عليكم الصيام yang bermaksud: “Diwajibkan ke atas kamu berpuasa” [Al-Baqarah, 2: 183]. Oleh itu, perintah supaya berpegang teguh dengan Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam seperti yang terkandung dalam hadith itu mesti difahami sebagai suatu tuntutan yang wajib dilaksanakan oleh seluruh umat Islam sama seperti kewajipan solat, puasa dan lain-lain.
Justeru suruhan supaya menjauhi perkara bid’ah juga mesti dilihat sebagai suatu tuntutan yang wajib dilaksanakan oleh seluruh umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, sama seperti suruhan supaya berpegang dengan Sunnah Baginda. Dengan perkataan lain, jika berpegang dengan Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam itu hukumnya wajib, maka menjauhi perkara bid’ah itu juga mesti dilihat sebagai wajib.
Gejala bid’ah adalah antara perkara yang diberi perhatian serius oleh Islam. Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah banyak memberi peringatan tegas kepada umatnya supaya menjauhi semua perkara tersebut, dan peringatan Baginda itu tentulah mengandungi hikmah-hikmah yang tidak boleh dipandang remeh begitu sahaja. Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
أنا على حوضي أنتظر من يرد علي فيؤخذ بناس من دوني حتى إذا أهويت لأناولهم اختلجوا دوني، فأقول: أي رب! أمتي، فيقول: ما تدري ما أحدثوا بعدك.
Maksudnya: “Sedang aku menunggu orang datang menemuiku di kolamku (di Syurga), tiba-tiba dibawa datang sekumpulan manusia di bawahku sehingga aku tunduk untuk mencapai mereka tetapi mereka berjatuhan di bawahku, lalu aku mengeluh: “Wahai Tuhanku! (mereka adalah) umatku”. Dia (Allah) berfirman: “Kamu tidak tahu apa yang telah mereka ada-adakan (perkara bid’ah) selepasmu” [Al-’Asqalani, Ahmad Ibn ‘Ali Ibn Hajar, Fath Al-Bari Bi Sharh Sahih Al-Bukhari, Dar Al-Ma’rifah, Beirut, 1379H, 13: 3, No: 7048, 7049]
Hadith ini menunjukkan bahawa amalan bid’ah yang dilakukan oleh umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam akan menghalang mereka daripada mendapat keselamatan pada Hari Akhirat kelak. Menjelaskan hikmah di sebalik peringatan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ini, Al-Hafiz Ibn Hajar rahimahullah berkata:
Maksudnya: “Dan sebab (bagi) peringatan ini ialah (kerana) sesungguhnya (orang) yang mengadakan bid’ah itu kadang-kala mengambil mudah dengannya kerana keremehan perkara itu pada peringkat awalnya, sedangkan dia tidak perasan kerosakan yang akan berlaku akibatnya…” [Al-’Asqalani, Ahmad Ibn ‘Ali Ibn Hajar, Fath Al-Bari Bi Sharh Sahih Al-Bukhari, Dar Al-Ma’rifah, Beirut, 1379H, 13: 302].
Dalam konteks ini juga, Al-Barbahari rahimahullah berkata:
“Dan awasilah perkara-perkara bid’ah kecil kerana ia akan berulang sehingga menjadi besar. Demikianlah setiap (amalan) bid’ah yang diada-adakan di kalangan umat ini, pada mulanya adalah kecil dan mirip kepada kebenaran sehingga orang yang memasukinya (melakukannya) tertipu dengannya. Kemudian dia tidak dapat keluar lagi darinya lalu ia membesar dan menjadi satu agama yang dianuti sehingga menyalahi jalan yang lurus dan akhirnya terkeluar dari ajaran Islam” [Hasan ibn ‘Ali Ibn Khalaf Al-Barbahari (329H), Sharh As-Sunnah, dalam ‘Ali Ibn Hasan Ibn ‘Ali Ibn ‘Abd Al-Hamid Al-Halabi, ‘Ilm Usul Al-Bida’, Dar Ar-Rayah, Riyadh/Jeddah, 1417H, Hal: 247. Lihat juga edisi terjemahan oleh Zainal Abidin LC, Dar El-Hujjah, Jakarta, Indonesia, 2002, Hal: 39].
Berdasarkan hakikat ini, maka usaha menghidupkan Sunnah dan mematikan Bid’ah perlu dilihat sebagai usaha terpuji, malah ia termasuk dalam kerja-kerja amar ma’ruf dan nahi mungkar yang paling utama. Menyedari kepentingan dan kewajipan menjauhi perkara bid’ah, maka para Sahabat tidak memandang ringan terhadap sebarang bid’ah meskipun perkara itu dianggap oleh sesetengah pihak sebagai sesuatu yang kecil. Bahkan kerana bimbang akan terlanjur melakukan perkara haram mereka mengambil langkah berwaspada dengan meninggalkan sebahagian daripada perkara harus dan shubuhat.
Dalam sebuah athar sahih [athar-Riwayat berkenaan amalan para Sahabat radhiallahu ‘anhum] riwayat Ad-Darimi, Abu Musa Al-Asy’ari radhiallahu ‘anh memberitahu Ibn Mas’ud radhiallahu ‘anh bahawa beliau melihat di masjid sekumpulan lelaki sedang duduk dalam halaqah (bulatan) zikir untuk bertakbir, bertahlil dan bertasbih dengan menggunakan biji-biji batu mengikut cara yang tidak pernah dilakukan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan juga para Sahabat radhiallahu ‘anhum. Mendengar yang demikian, Ibn Mas’ud menuju ke tempat halaqah zikir itu lantas menegur mereka dengan katanya:
عَدُّوا سيِّئاتِكم فأنا ضامن أن لا يضيعَ من حسناتِكم شيء، ويْحَكم يا أمّة محمد! ما أسرع هلكتَكم، هؤلاء صحابة نبيكم صلى الله عليه وسلم متوافرون، وهذه ثيابه لم تبْلُ وآنيته لم تُكْسر، والذي نفسي بيده إنكم لعلى ملةٍ أهدى من ملة محمد أو مفتّحو باب ضلالة؟
Maksudnya: “Hitunglah amalan buruk kamu itu kerana aku jamin bahawa amalan baik kamu tidak akan hilang sedikitpun. Celakalah kamu wahai umat (Nabi) Muhammad! Alangkah cepatnya kebinasaan kamu, para Sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam masih ramai, baju Baginda inipun masih belum hancur dan bekas makanannya pun belum pecah. Demi yang nyawaku di Tangan-Nya! Adakah sesungguhnya kamu berada di atas agama yang lebih baik dari agama Muhammad atau kamu sebenarnya pembuka pintu kesesatan?”
Mendengar kata-kata Ibn Mas’ud ini, mereka menjawab:
والله يا أبا عبد الرحمن! ما أردْنا إلا الخير.
Maksudnya: “Demi Allah wahai Abu ‘Abd Ar-Rahman! [Abu ‘Abd Ar-Rahman ialah kuniyah bagi Ibn Mas’ud radhiallahu ‘anh] Tujuan kami hanya untuk kebaikan”.
Mendengar jawapan mereka itu, Ibn Mas’ud ‘berkata:
وكم من مريدٍ للخير لن يصيبه إن رسول الله صلى الله عليه وسلم حدثنا ((أن قوما يقرأون القرآن لا يجاوز تراقيهم)) وأَيْم الله ما أدري لعل أكثرهم منكم.
Maksudnya: “Berapa ramai orang yang bertujuan baik tetapi tidak betul (caranya). Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memberitahu kami: “Bahawa ada satu kaum yang membaca al-Quran tidak melebihi kerongkong mereka” [Al-Bukhari, Muhammad Ibn Ismail, Sahih Al-Bukhari, Dar Ibn Kathir, Al-Yamamah, Beirut, 1987, No: 3166, 3415, 4094, 4770, 4771, 6531, 6532, 6995 dan 7123. Muslim Ibn Al-Hajjaj, Sahih Muslim, Dar Ihya’ At-Turath Al-’Arabiyy, Beirut, 1991, No: 1063, 1064 dan 1066]. Demi Allah! Aku tak tahu boleh jadi kebanyakan mereka itu adalah dari kalangan kamu”.
Kemudian ‘Amr Ibn Salamah [Seorang tabi’en thiqah dan juga murid kepada Ibn Mas’ud yang meriwayatkan athar tersebut] berkata (maksudnya): “Kami melihat semua lelaki yang berada dalam halaqah itu menyertai puak Khawarij lalu menyerang kami pada hari peperangan An-Nahrawan” [Ad-Darimi, ‘Abd Allah Ibn ‘Abd Ar-Rahman, Sunan Ad-Darimi, Dar Al-Kitab Al-’Arabi, Beirut, Lubnan, 1407, 1: 79, No: 204. Sanad hadith ini telah dinilai sahih oleh Al-Albani dalam kitabnya Islah As-Sajid (Hal: 11). Lihat: Ad-Durar As-Saniyyah, atas talian: http://www.dorar.net./mhadith.asp].
Peristiwa yang berlaku pada zaman Sahabat radhiallahu ‘anhum ini mengandungi banyak pengajaran yang harus dihayati oleh umat Islam. Antara pengajaran itu ialah:
Pertama: Bahawa amalan berzikir dalam halaqah beramai-ramai dengan menggunakan biji-biji batu adalah suatu bid’ah yang menyalahi Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan para Sahabat radhiallahu ‘anhum.
Kedua: Kata-kata Ibn Mas’ud radhiallahu ‘anh: “Berapa ramai orang yang bertujuan baik tetapi tidak betul (caranya)”, sebagai jawapan terhadap alasan yang mereka berikan, mengukuhkan lagi dasar penolakan Islam terhadap falsafah ‘tujuan menghalalkan cara’.
Ketiga: Kata-kata ‘Amr Ibn Salamah bahawa beliau melihat semua lelaki yang mengadakan halaqah zikir itu menyertai puak Khawarij untuk memerangi para Sahabat radhiallahu ‘anhum, menunjukkan bahawa sikap mengambil mudah terhadap perkara bid’ah akhirnya mengheret pengamalnya ke arah bid’ah yang lebih bahaya dan lebih besar.
Keempat: Orang yang menegur dan menjelaskan perkara bid’ah tidak sekali-kali akan terpengaruh dengan pemikiran puak Khawarij, sebaliknya orang yang mengamalkan bid’ah itulah sebenarnya yang akan terheret ke dalam pemikiran puak berkenaan.
Kelima: Kepentingan menjaga perpaduan dan keharmonian masyarakat tidak harus dijadikan alasan untuk menangguhkan penjelasan terhadap sesuatu amalan bid’ah, asalkan penjelasan itu disampaikan melalui cara dan saluran yang betul.
Keenam: Kekerdilan sesuatu perkara agama pada pandangan sesetengah pihak tidak harus dijadikan alasan untuk memandang remeh perkara tersebut.
No comments:
Post a Comment