Excerpt from this book.. "Siapakah Ahli Sunnah yang sebenar" by Dr Azwira Abdul Aziz link here --> Click!
Jika dilihat dari sudut bahasa, perkataan Wahabiyyah itu sangat quddus (suci) kerana ia berasal daripada perkataan Wahhab yang merupakan salah satu daripada nama Allah Subhanahu wa Ta’ala (Al-Wahhab). Perkataan Wahhab itu juga sinonim dengan nama ayahnya ‘Abd Al-Wahhab, manakala namanya yang sebenar (Muhammad) menyamai nama Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Jika dilihat dari segi kesesuaian nama, sepatutnya gerakan itu digelar Muhammadi dan bukannya Wahabi, kerana orang yang dianggap sebagai pengasas gerakan itu bernama Muhammad dan bukannya Wahhab.
Persoalannya, kenapakah suatu gerakan yang dianggap sesat itu digelar dan dinisbahkan kepada nama Allah yang Maha Quddus, dan juga kenapakah ia dinisbahkan kepada nama ayah dan bukan kepada nama sebenar tokoh berkenaan? Sebenarnya, penulis sendiri sejak sekian lama tertanya-tanya berkenaan hal ini, sehinggalah seorang sahabat mengisyaratkan kepada kewujudan sebuah risalah yang membahaskan persoalan tersebut.
Risalah itu mencatatkan bahawa istilah Wahabiyyah itu pada asalnya adalah gelaran bagi puak-puak Khawarij yang muncul di kawasan Utara Afrika dan Maghribi. Ia dinisbahkan kepada pimpinan puak Khawarij kerajaan Ar-Rustumiyyah bernama ‘Abd Al-Wahhab Ar-Rustumi dan juga pimpinan puak Khawarij Al-Haruriyyah yang bernama ‘Abd Allah Ibn Wahab Al-Wasibi. Kedua-dua puak Khawarij ini muncul lama sebelum kemunculan gerakan dakwah islah Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab [Muhammad ibn Sa’ad Ash-Shuwai’ir, Tashih Khata’ Tarikhi Haula Al-Wahhabiyyah, 1413H, Hal: 4, Dalam Prof. Nasir Ibn ‘Abd Al-Karim Al-’Aql, Islamiyyah La Wahhabiyyah, Dar Kunuz Isybiliya, Riyadh, Arab Saudi, 2004, Hal: 36]
Oleh kerana ada persamaan pada nama mereka dari segi kewujudan perkataan wahhab itu, maka persamaan itu, yang lebih merupakan satu “kebetulan”, diambil kesempatan oleh para pendukung bid’ah untuk mengaitkan gerakan islah Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab dengan puak berkenaan. Dengan memberinya gelaran puak Khawarij, maka mereka telah berjaya memburukkan imej gerakan islah Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab pada kaca mata sebahagian besar umat Islam yang jahil. Akibatnya,usaha baik yang dilancarkan untuk memurnikan tauhid, membetulkan aqidah dan menghidupkan Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah disalah anggap sebagai gerakan Khawarij yang menyimpang daripada ajaran Islam.
Imej gerakan dakwah islah Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab itu menjadi lebih buruk apabila para pendukung bid’ah dengan niat yang jahat sengaja mengaitkannya dengan faktor kejatuhan kerajaan ‘Uthmaniyyah Turki (akan dijelaskan dalam perbincangan Tohmahan 7, insyaAllah). Manakala pada hari ini, terutamanya selepas peristiwa 11 September, istilah wahabiyyah digunakan secara negatif pula oleh media-media barat bagi menggambarkan para pendukung Sunnah yang berpegang teguh dengan ajaran Islam sebagai fundamentalis, ekstrimis, pengganas dan militan agama. Apa yang menyedihkan persepsi negatif barat ini diterima pakai oleh umat Islam sendiri sehingga mereka turut memerhatikan saudara seislam mereka melalui kaca mata barat. Wala Haula Wala Quwwata Illa Billah.
No comments:
Post a Comment