Sunday, March 29, 2009

All of us have to play a part

Stumbled upon this enlightening entry in a blog (mahfuzhafiz.blogspot.com) by bro Mahfuz an Al-Azhar University undergrad.. just to share

>>>>>>>>>>>>>>>>>>

Kisah Semut

izinkan saya berkongsi sebuah kisah perihal semut yang telah dirakamkan di dalam Al-Quran di dalam surah An-Naml(17-19). Walaupun kisah ini hanya merangkumi 3 ayat di dalam Al-Quran tetapi banyak pengajaran yang dapat kita ambil demi kemaslahatan umat. Di antara keistimewaan Nabi Sulaiman a.s ialah beliau dikurniakan Allah dengan tentera yang terdiri dari pasukan-pasukan manusia,jin dan burung. Angkatan tentera yang besar dan cukup lengkap ini membantu Nabi Sulaiman a.s menjaga keselamatan negerinya dari ancaman musuh. Pada suatu hari Nabi Sulaiman a.s mengumpulkan kesemua bala tenteranya dan mengaturnya dengan rapi.

17. Dan dihimpunkan bagi Nabi Sulaiman bala tenteranya, dari jin dan manusia serta burung; lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing.

Maka maralah tentera Sulaiman sehingga mereka tiba di sebuah tempat yang bernama “Waadi An-Naml”(Lembah semut) dimana di situ terdapat sebuah kerajaan semut. Semut-semut pada masa itu sedang sibuk menjalankan aktiviti harian mengumpul rezeki. Seekor seemut sedar akan kehadiran tentera Sulaiman maka dia menyeru semut-semut yang lain agar memasuki sarang masing-masing supaya tidak diinjak dan dibinasakan tentera Sulaiman.

18. (Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke "Waadin-Naml", berkatalah seekor semut: "Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari".

Nabi Sulaiman sedar akan kelakuan semut-semut itu lalu beliau berdoa.

19. Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa Dengan berkata:" Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu Yang Engkau kurniakan kepadaKu dan kepada ibu bapaku, dan supaya Aku tetap mengerjakan amal soleh Yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - Dengan limpah rahmatMu - Dalam kumpulan hamba-hambaMu Yang soleh".

Demikian kisah yang dirakamkan di dalam Al-Quran mengenai kelakuan seekor semut menyelamatkan seluruh masyarakat semut yang ada di tempat itu.

Al-Quran `menggunakan kalimah “Namlatun” untuk menunjukkan identiti semut yang menjadi penyelamat itu. Namun tidak digunakan kalimah “Maalikun-naml” yang membawa erti raja semut ataupun “Amiirun-Naml” yang membawa erti ketua semut. Begitu juga tidak diidentitikan semut itu sebagai General, Polis ataupun seekor semut yang dikurniakan banyak ilmu pengetahuan tentang agama atau ‘Ustaz’ dikalangan semut. Ia mungkin adalah seekor rakyat biasa tetapi ia telah menjalakan tanggungjawabnya sebagai penyumbang untuk menyelamatkan masyarakatnya. Kisah ini dirakamkan di dalam al-Quran dan Al-Quran diturunkan kepada Umat Islam agar kita dapat mengambil I’tibar dari kisah-kisah seperti ini.

Mari kita lihat keadaan masyarakat Islam sekeliling kita. Adakah mereka menghadapi bahaya seperti mana semut-semut tadi yang berkemungkinan diinjak dan dibinasakan ataupun masyarakat kita berhadapan dengan ancaman bahaya yang lebih dasyat dari itu. Penganutan budaya dan pemikiran yang merosakkan akal dan menjauhkan kita dari Tuhan pencipta alam ini. Budaya Islam yang Agung sudah kabur di mata pandangan kita sendiri dan cara hidup lain yang diagung-agungkan dan dibanggakan.

Saya mengatakan senario sedemikian adalah lebih merbahaya dari injakan tentera Sulaiman kerana keadaan masyarakat Islam seperti itulah yang akan diwariskan kepada generasi anak cucu kita yang belum dan akan dilahirkan di dunia ini nanti. Siapakah yang akan menyelamatkan kita dari bencana sedemikian?

Sudah tentu kita akan menuding jari ke arah para Ustaz, ustazah, tok Imam, ulama’, guru dan sebagainya. Jika itu tanggapan kita maka itu adalah pemikiran yang salah dan perlu diperbetulkan.

SETIAP individu yang bergelar muslim deberi mandat dan status yang mulia dari Allah s.w.t iaitu sebagai khalifah dimuka bumi ini. Maka dengan itu setiap dari kamu bertanggungjawab untuk menyelamatkan masyarakat Islam. Usaha perlu depertingkatkan untuk mengubah status/darjat masing-masing dan dengan usaha yang gigih,ilmu yang bermanfaat,makanan rohani dan iman yang mantap dijadikan bekalan. Dengan itu juga kita dapat menyelamatkan masyarakat kita dari bahaya-bahaya sedemikian.

Kita ibarat seorang yang sedang menyelamatkan teman yang sedang tidur di dalam rumah yang sedang terbakar.Kita harus menyelamatkannya dengan apa cara sekalipun untuk membawanya keluar. Dengan kesedaran juga kita ibarat seorang yang membawa pelita memasuki lombong mengeluarkan manusia yang terkandas dan terperangkap didalamnya. Dengan tangan inilah yang akan memimpin mereka dan membawa mereka keluar ke alam yang penuh dengan cahaya.

Jika setiap individu muslim memainkan peranan maka Budaya Islam suatu hari nanti akan kembali gemilang seperti mana yang dibuktikan oleh generasi yang lampau. Sempat atau tidak kita menemuinya tidak menjadi persoalan kerana yang penting dan diambil kira disisi Allah s.w.t ialah kita turut serta dalam usaha murni itu.

Dengan usaha itu juga dapat dijadikan bekalan di akhirat kelak dan dengan itu juga Allah s.w.t menghapuskan dosa-dosa kita. Inilah impian setiap muslim yang takut akan tuhannya. Amin ya Rabb.

No comments: