Sunday, November 30, 2008

Mencari atau Menjadi?

Just to share this excerpt from a saifulislam.com article entitled,”Pro Aktif Mulakan Dengan yang di Depan Cermin”

ERTI PROAKTIF

Proaktif bermaksud, mengambil kawalan dan tanggungjawab ke atas diri kita sendiri.
Kita tidak boleh meletakkan kualiti hidup kita atas sesuatu yang kita tidak boleh kawal.


“Ana tak boleh buat apa-apa, kalau jalan jem macam ini, memang ana jadi kaki mencarut punya,” kata seorang pemandu di Kuala Lumpur. Susahlah begitu. Mungkin dia kena pindah ke ‘Kampung Bongek’, baru boleh berhenti mencarut.

“Kalau cuaca gloomy macam ini, saya memang depressed,” kata seorang pelajar di Galway, Ireland.

Emm, dia sudah tersalah memilih tempat belajar. Sepatutnya dia memilih untuk belajar di Tha’if, Arab Saudi atau di Burkina Faso. Barulah cuaca cerah sentiasa.

Kenyataan-kenyataan seperti ini, adalah seperti meletakkan remote controller kehidupan kita di pihak lain. Kita gembira atau sedih, kita bahagia atau derita, semua ditentukan oleh orang lain.


Cuaca yang menentukan mood kita.

Ibu bapa yang akan menentukan saya boleh jadi ibu atau bapa yang baik.

Bursa Saham sahaja yang boleh menentukan tahap senyum dan bahagia saya.

Oh, kehidupan seperti ini adalah kehidupan reaktif. Kita tiada upaya untuk memutuskan tindakan atas pilihan sendiri. Kita hanya mampu memberi reaksi.

Hidup begini, adalah hidup yang rumit lagi sulit. Masakan tidak, jika ujian kehidupan menentukan kebahagiaan diri, mampukah kita mencari sebuah kehidupan yang bebas dari ujian?


Berhentilah daripada mencari unsur luar, kerana semua itu ada dalam dirimu. Mahu bahagia atau derita, pilih sendiri. Mahu menafsirkan ujian sebagai kaffarah dari Allah peluang untuk diperbaiki dan memperbaiki, atau mahu menafsirkannya sebagai bala bencana penyebab derita lagi sengsara, atau mahu menafsirkannya dengan gaya si luncai yang ‘AKU TIDAK PEDULI’SMA’, anda pilih sendiri.

Mulakan perubahan dengan mengubah diri sendiri. Warnakan alam dengan pandangan anda sendiri.

MENCARI ATAU MENJADI

“Saya sedar saya tidaklah sehebat Fatimah, sebab itu saya perlukan suami yang soleh seperti Ali untuk membimbing saya,” kata seorang mahasiswi.

“Ana memang tidak sebagus Ali, sebab itu ana kena pilih isteri yang sempurna macam Fatimah. Ana tak mampu nak memFatimahkan seorang yang tidak Fatimah!” tegas seorang mahasiswa.

Semua sibuk mencari. Mudahkah untuk mendapatnya?

Semua sibuk mencari. Jika jumpa, mudahkah untuk mengekalkannya?


Kita bertemu dengan pasangan hidup semasa duduk di dalam suasana usrah. Alhamdulillah, imejnya berjubah dan bertudung labuh. Tetapi mampukah kita mengekalkan isteri kita pada benchmark solehah seperti itu di sepanjang alam rumahtangga? Dia mungkin akan diubah oleh suasana kerja, dia mungkin akan diubah apabila kembali ke pangkuan keluarga, dia mungkin berubah atas banyak pengaruh, atau paling utama, dia mungkin berubah kerana dia memang berubah.

Maka mampukah kebahagiaan dan kesempurnaan rumahtangga dipertahankan, jika suami meletakkan kesempurnaan itu ialah pada apa yang isteri buat dan tidak buat, jadi atau tidak jadi?

Kita mahu mencari pasangan hidup yang soleh, dan kita menemuinya di dalam suasana semua lelaki nampak sempurna. Semasa bercinta, dialah Ultraman, dialah Gaban. Tetapi siapa sangka, selepas berumahtangga, Ultraman berubah menjadi raksasa!

Jika bahagia dan sempurnanya rumahtangga ialah pada apa yang suami buat atau apa yang isteri buat, kita akan hidup dan mati dalam pencarian. Pencarian yang tidak berkesudahan.

Maka jika mahu mendapat yang soleh, kurangkan sedikit agenda menCARI si Soleh, tetapi berusahalah menJADI yang solehah. Jika inginkan yang solehah, janganlah cerewet sangan menCARI yang solehah, tetapi berusahalah menJADI yang soleh.


Bertemu yang solehah, solehahnya belum tentu kekal. Bertemu yang soleh, solehnya boleh berubah… kerana si solehah dan soleh adalah insan biasa.

Tetapi jika semua orang fokus kepadi JADI dan bukannya CARI, maka ramailah calon, dan mudahlah sedikit kehidupan. Dan kita sendiri tidak bimbang untuk berumahtangga dengan pasangan ‘itu’ walaupun tidak 100%(30% pun belum tentu) mengenalinya.


Apa yang nak dibimbangkan, kita berkahwin sebagai sebahagian daripada proses untuk menJADI, bukan menCARI.

No comments: