Thursday, August 07, 2008

Syabas Kepada Mufti Perlis

entry from msomelayu.blogspot.com

Bicara Pagi
Syabas Kepada Mufti Perlis

BARANGKALI saya adalah antara orang-orang yang merasa lega apabila membaca laporan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin tidak bersedia untuk menjadi calon BN pada pilihan raya kecil Permatang Pauh yang akan diumumkan esok.


Lega bukan kerana bimbang beliau akan kalah ditangan Anwar Ibrahim ataupun beliau akan mengancam Anwar, tetapi lega dan senang kerana dunia dan umat Islam masih lagi boleh memiliki beliau. Ilmu yang beliau miliki amat diperlukan untuk membantu umat Islam negara ini.

Kalau beliau terjun ke dalam kancah politik kedudukannya tidak dipandang semulia seperti hari ini lagi. Bila menjejak kaki ke kancah politik beliau tidak dapat elakkan diri daripada condong kepada parti yang dianggotainya. Beliau juga tidak akan dilihat bebas untuk berkata-kata berdasarkan kebenaran lagi.

Kalau beliau menyertai Umno misalnya beliau tidak lagi boleh mengkritik silap dan salah pemimpin Umno. Beliau tidak lagi dapat membaca ayat-ayat Quran dan Hadith mengikuti sepatutnya sebaliknya kena baca ayat-ayat yang menyenangkan orang dan diambil sekerat-sekarat.

Minggu lalu beliau menegur sikap PM Abdullah Ahmad Badawi yang meletakkan kalungan bungan di Tugu Negara.


Cuba kalau beliau menyertai Umno beliau tidak akan 'boleh' berbuat begitu lagi. Beliau hanya kena mendiamkan diri saja. Banyak ulama dan ustaz dalam Umno tahu hukum apa yang dilakukan Abdullah dan perdana menteri sebelum ini tetapi seorang pun tidak berani menegurnya. Mereka sanggup bergulamang dalam dosa secara bersama.

Begitu juga kalau beliau menyertai Pas. Teguran kepada Nik Aziz Nik Mat dan Abdul Hadi Awang tidak boleh dilakukan lagi. Semuanya akan diiyakan bahkan menjadi tukang tambah pula terhadap kata-kata mereka itu.

Sudah banyak ustaz dan ulama yang menceburi diri dalam politik akhirnya musnah. Mereka yang sebelumnya dilihat memiliki ilmu tinggi tiba-tiba runtuh sebaik saja berada dalam politik dan setelah mendapat kuasa duniawi itu.


Tidak dapat lari kalau menyertai politik mereka kena bercakap bohong, kena menggunakan kaedah matlamat menghalalkan cara, kena berdolak dalih dan kena bersifat hipokrit. Tasbeh dan Quran hanya lambang saja bukan untuk diamalkan.

Bagi orang politik kalau tidak memiliki sifat itu tidak lengkap.

Saya mendoakan semoga Asri akan kekal dengan pendirian dan siasah yang diambilnya kini. Hari ini beliau diterima dan menjadi rujukan semua orang. Semua pihak menggunakan ilmunya, baik BN, Pas dan lain-lain. Semua parti sukakan atas keberaniannya. Beliau seorang ulama gantang yang progresif dan dinamik.


Mudah-mudahan Allah s.w.t. memberi kekukuhan iman kepada Asri untuk teguh dengan pendiriannya, menjadi ilmuan dan cendekiawan Islam yang senantiasa dirujuk oleh umat Islam. Beliau didoakan juga terus berani menegur dan memberi jalan-jalan pemikiran dan pegangan hidup baru yang progresif sesuai dengan Islam sebagai way of life. Pendirian dan peranaan beliau juga mudah-mudahan menjadi ikutan generasi rabbani yang baru! [wm.kl 8:00 05/08/07]

No comments: