Excerpt from 'Tip-tip Cemerlang daripada Quran' ...
Mujahadah menyucikan nafsu dan menaikkannya ke tahap yang mulia. Nafsu yang paling rendah adalah nafsu 'ammarah'. Berhubung dengan ini, Tuhan menyatakan dalam surah Yusuf ayat 53 yang bermaksud, "Dan aku tidak membebaskan diriku daripada kesalahan, kerana sesungguhnya nafsu 'ammarah' selalu menyuruh kepada kejahatan." Hati yang dikuasai nafsu 'ammarah' dipenuhi dengan syahwat, perasaan mudah marah, tamak haloba, sombong, bongkak, suka dipuji, takutkan kesusahan dan mudah kecewa. Pada tahap ini, manusia sanggup menyalahkan Tuhannya apabila berdepan dengan masalah.
Apabila hati digilap dengan mujahadah, ia meningkat ke tahap yang lebih stabil iaitu nafsu 'lawwamah'. Tuhan menyatakan dalam surah 'al-Qiyamah' ayat 1 hingga 2 yang bermaksud, "Aku bersumpah dengan hari kiamat dan aku bersumpah dengan jiwa 'lawwamah' (yang amat menyesali dirinya sendiri)." Hati yang dipenuhi nafsu 'lawwamah' menjadikan tuannya terumbang-ambing antara kebaikan dan kekejian. Kadangkala, ia menasihati tuannya tentang keutamaan yang perlu dicari. Namun, kadangkala perkara yang sebaliknya berlaku.
Apabila hati terus digilap, ia meningkat kepada nafsu 'mutmainnah' ataupun hati yang tenang damai. Berhubung dengannya, Tuhan menyatakan dalam surah al-Fajr ayat 27 hingga 30 yang bermaksud, "Wahai hati yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai. Masuklah ke dalam jemaah hamba-hambaku dan masuklah ke dalam syurgaku."
Mereka yang memiliki hati 'mutmainnah' yakin dengan janji-janji Tuhan. Mereka tenang mengabdikan diri kepada Tuhan. Justeru, mereka sentiasa tabah menghadapi ujian di dunia kerana mereka merindukan kesenangan di akhirat. Setiap kali mereka diuji, mereka teringatkan janji-janji Tuhan dalam surah al-Insyirah ayat 5 hingga 6 yang bermaksud, "Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kesenangan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kesenangan." Mereka adalah golongan yang cemerlang dan kecemerlangan ini terhasil melalui proses mujahadah.
No comments:
Post a Comment